PalestinSemasa

Peneroka Haram Israel Bakar Tanah Palestin, Rejim Zionis Gempur Kediaman di Tebing Barat

Sekumpulan peneroka haram Israel bertindak ganas dengan membakar tanah milik penduduk Palestin di wilayah diduduki di Tebing Barat pada petang Isnin lalu. Insiden tersebut dilaporkan berlaku di bawah perlindungan ketat daripada pihak tentera Israel.

Menurut laporan agensi berita rasmi Palestin, WAFA, aktivis anti-penempatan haram, Osama Makhamra, mengesahkan bahawa serangan khianat itu menyasarkan kawasan Umm Nir yang terletak di bandar al-Karmil, selatan Hebron.

Susulan kejadian itu, sekumpulan sukarelawan pertahanan awam dari kampung al-Tuwana dan Susya di Masafer Yatta terpaksa dikerahkan ke lokasi bagi mengawal dan memadamkan kebakaran daripada terus merebak.

Arahan Henti Kerja Sasar Rumah Penduduk

Dalam perkembangan berasingan di selatan Hebron, pihak berkuasa Israel dilaporkan telah mengeluarkan 15 arahan henti kerja yang menyasarkan rumah, struktur kediaman, serta kemudahan awam milik masyarakat Palestin.

Ahli majlis kampung Umm Qusa yang juga aktivis anti-penempatan, Najeh Ataymat, mendedahkan bahawa premis yang terjejas terletak di kawasan gurun Yatta. Langkah rejim Zionis ini dilihat sebagai usaha berterusan untuk menyingkirkan penduduk tempatan secara halus.

Angka Korban Terus Meningkat

Keganasan di Tebing Barat dilaporkan semakin meruncing sejak meletusnya konflik pada Oktober 2023. Berdasarkan statistik rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Palestin, siri serangan agresif oleh tentera rejim dan peneroka haram Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,162 rakyat Palestin.

Selain itu, seramai 12,245 orang dilaporkan cedera, manakala hampir 23,000 penduduk Palestin telah ditahan oleh pihak berkuasa Israel dalam tempoh tersebut. — AA

Related Articles

Back to top button