DomestikEkonomiSemasa

Pengangkutan RapidKL percuma selama sebulan

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah pengendalian Rapid KL selama sebulan.

Perkhidmatan percuma itu bermula pada hari ini yang melibatkan pengangkutan Rapid KL, MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL.

Ismail Sabri mengumumkan perkara tersebut ketika Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu di sini hari ini.

Menurutnya lagi, dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup semakin meningkat, beliau sangat memahami kesusahan rakyat pada ketika ini.

Justeru itu, pengumuman yang disampaikan ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat pada hari ini.

Tambahnya lagi, lebih kurang dua juta penduduk di koridor dari kawasan Kwasa Damansara ke pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya menerima manfaat perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya yang dibangunkan dalam dua fasa ini.

Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya ini turut mempunyai bas perantara dan bas GoKL bagi menyambung destinasi pertama dan terakhir.

Beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek yang bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia.

MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu melibatkan 12 stesen, termasuk tiga yang ditukarkan daripada MRT Laluan Kajang dengan tempoh perjalanan selama 24 minit, selain mempunyai lot pakir sebanyak 2,836 di tujuh kemudahan ‘Park n Ride’.

Related Articles

Back to top button