Semasa
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang melawat IPSI

Pulau Pinang – Peranan penting Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) dalam dakwah Islam yang diterajui oleh YBhg. Dato’ Hj. Kamarudin bin Abdullah, semakin mendapat perhatian.
Pihak IPSI sangat bertuah apabila TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak telah mengadakan lawatan rasmi ke ibu pejabat (IPSI) di Jalan Argyll, Georgetown.

Ketibaan TYT Tun disambut oleh YBhg. Dato’ Hj. Kamarudin bin Abdullah, Presiden, YBhg. Dato’ Samsudin bin Bakar, Setiausaha MAINPP, Dr. Mohamed Amir Shah bin Abd. Aziz, Naib Presiden, En. Mohamad Hafiz bin Mohamad Tahir, Setiausaha, Encik Rosli bin Halim, Pegawai Daerah, Timur Laut Pulau Pinang, dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Pertubuhan.
Ketibaan TYT Tun disambut meriah dengan paluan kompang menandakan budaya Melayu disuburkan dengan dakwah Islam.






Selepas itu majlis diserikan lagi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan disusuli tayangan video profail pertubuhan dan ucapan aluan oleh YBhg. Dato’ Haji Kamaruddin.
Dalam majlis itu, TYT Tun turut berbesar hati menandatangani plak pelancaran Buku Tatacara Syahadah dengan disaksikan oleh YBhg. Dato’ Haji Kamaruddin dan YBhg. Dato’ Samsudin, serta memotong reben banting bagi melancarkan slogan “Dari Ummah Untuk Ummah”.
TYT Tun kemudiannya dibawa melawat sekitar bangunan IPSI termasuk bilik kuliah, bilik jagaan kanak-kanak, auditorium dan kedai buku, serta diberikan penerangan oleh YBhg. Dato’ Haji Kamaruddin. Majlis diakhiri dengan jamuan makan yang telah disediakan oleh pihak penganjur.
TYT Tun menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih diatas sambutan dan layanan yang diberikan semasa lawatan tersebut.
YBhg. Dato’ Hj. Kamarudin bin Abdullah berharap semoga lawatan ini akan mengukuhkan lagi ikatan IPSI dengan pihak Yang di-Pertua Negeri dalam dakwah Islam.