EkonomiSemasa

Perjanjian perdagangan Malaysia-AS dorong kemajuan PKS

Perjanjian perdagangan timbal balas yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menandakan kemajuan besar bagi komuniti perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, sektor yang bakal menerima manfaat awal termasuk elektrik dan elektronik, mesin dan komponen industri, barangan pengguna, tekstil terpilih, makanan diproses serta produk pertanian bernilai tambah.

Beliau menjelaskan bahawa PKS yang menjadi pembekal kepada sektor-sektor ini turut akan mendapat kelebihan daripada peningkatan akses ke pasaran AS yang merupakan pasaran terbesar dunia.

“Perjanjian ini memberikan peluang besar kepada produk khusus, perkhidmatan berjenama dan barangan pengguna tempatan untuk menembusi pasaran AS. Ia juga memberi kepastian kepada pengeksport Malaysia mengenai peraturan perdagangan dengan AS pada masa depan,” katanya.

Namun, Ng menegaskan bahawa manfaat pengecualian tarif hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika PKS bersedia memenuhi keperluan keselamatan produk, pembungkusan, pelabelan serta memastikan penghantaran yang boleh dipercayai dengan sokongan selepas jualan.

Samenta bersedia bekerjasama dengan kerajaan bagi melaksanakan langkah sokongan termasuk maklumat jelas mengenai kod HS yang layak, peraturan asal barang, dokumentasi, pembiayaan eksport, pembangunan kapasiti piawaian dan pensijilan, serta pemadanan perniagaan dengan rakan niaga di AS.

Beliau turut menambah bahawa tekanan kos domestik seperti logistik, pematuhan dan tenaga kerja perlu diatasi bagi memastikan daya saing PKS Malaysia bukan hanya dari segi harga, tetapi juga kualiti dan kecekapan operasi.

“Perjanjian ini juga akan menjadikan Malaysia lebih menarik kepada pelabur AS yang ingin mempelbagaikan rantaian bekalan ke rantau Asia Tenggara,” katanya.

Ng menyeru agar PKS menjadikan perjanjian ini sebagai dorongan untuk memperkukuh keupayaan, meningkatkan piawaian dan bersedia untuk memperluas eksport dengan kerjasama kerajaan dan sektor industri.

Di bawah perjanjian tersebut, sebanyak 1,711 barisan produk eksport Malaysia akan menikmati pengecualian tarif apabila memasuki pasaran AS, sekali gus meningkatkan daya saing harga dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button