Covid19Semasa

Kerajaan tetapkan tiga SOP baharu umrah berkuatkuasa 14 Februari ini

KUALA LUMPUR : Jemaah yang akan melaksanakan ibadat umrah di Tanah Suci perlu mematuhi tiga prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan mula berkuatkuasa Isnin hadapan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara SOP baharu itu adalah, person-in-charge (PIC) dari agen pelancongan perlu memantau kepatuhan jemaah umrah semasa di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan semasa di pintu masuk antarabangsa.

Selain itu menurutnya, permohonan kelulusan Home Quarantine Application (HQA) tidak diperlukan bagi jemaah umrah dibenarkan menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

“Tetapi jemaah dibenarkan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri.

“Kerajaan juga mewajibkan dos penggalak kepada jemaah yang ingin mengerjakan umrah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, bagi jemaah yang berangkat ke Tanah Suci hari ini sehingga 13 Februari hadapan terikat dengan SOP sedia ada.

“Walau bagaimanapun, apabila mereka pulang semula ke tanah air kelak, diwajibkan mematuhi SOP baharu yang telah dikuatkuasakan,” ujarnya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button