Polis Kuala Lumpur, NGO salur bantuan kepada penghuni PPR Sentul Murni
KUALA LUMPUR: Polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan bantuan barangan keperluan kepada penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sentul Murni, di sini.
Polis Kuala Lumpur, dalam satu kenyataan, berkata program itu dijalankan bagi meringankan beban masyarakat yang terkesan serta memberi sokongan kepada orang ramai supaya terus bersemangat menghadapi pandemik Covid-19.
“Antara barangan keperluan yang diberi termasuk beras, garam, gula, susu pekat dan minyak masak.
“Ia diberi kepada 30 penduduk terdiri daripada warga emas, individu yang kehilangan pekerjaan, ibu tunggal dan mereka yang memohon bantuan tersebut,” katanya menerusi hantaran Facebook Polis Kuala Lumpur, hari ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo, dan turut disertai oleh Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dan timbalannya, Superintendan Heisham Harun, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sentul Murni, Zaini Abdullah dan pegawai dari IPD Sentul.
Oleh : NurFaisal Hakim – Pelatih Fakulti Filem, Teater, dan Animasi UiTM / AJ