
Polis berjaya menumpaskan kegiatan pelacuran melibatkan wanita warga Afrika yang menjadikan kaki lima di sekitar Bukit Bintang sebagai lokasi menawarkan khidmat seks dalam satu operasi awal pagi tadi.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Kuala Lumpur itu dijalankan kira-kira jam 2 pagi. Dalam serbuan tersebut, seramai 11 wanita warga asing terdiri daripada warga Ghana, Uganda dan Nigeria telah ditahan.
Menurut kenyataan itu, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 20-an hingga 30-an. Pihak polis turut merampas sejumlah kondom yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tidak bermoral berkenaan.
Siasatan awal mendapati kumpulan wanita tersebut dipercayai telah aktif menjalankan aktiviti pelacuran sejak kira-kira sebulan lalu secara individu tanpa melibatkan mana-mana sindiket.
Modus Operandi dan Kadar Bayaran Suspek dikesan menggunakan modus operandi dengan menawarkan perkhidmatan seks di kaki lima jalan raya, menyasarkan pelanggan yang datang berhibur di kawasan tersebut. Apabila persetujuan dicapai, pelanggan akan dibawa ke hotel bajet berhampiran atau ke lokasi pilihan pelanggan dengan kadar bayaran sekitar RM200 bagi setiap perkhidmatan.
Semakan juga mendapati kesemua suspek memasuki negara ini menggunakan pas pelancong sebelum menjadikan aktiviti pelacuran sebagai punca pendapatan utama.
Kesemua tangkapan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana aktiviti melacur dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai permit atau dokumen perjalanan yang sah.
— BERNAMA






