
Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) semalam, membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kewajipan zakat dan kepentingan wakaf sebagai instrumen kesejahteraan ummah.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di ibu pejabat PPZ-MAIWP itu disifatkan sebagai langkah strategik memperluas dakwah zakat dan memartabatkan amalan wakaf, sekali gus menyusun pelan kolaborasi yang lebih menyeluruh dan mesra masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman, berkata kerjasama ini mencerminkan iltizam kedua-dua pihak untuk menawarkan perkhidmatan lebih holistik kepada pelanggan.
“Kerjasama strategik ini membawa objektif yang jelas dan signifikan, selain membuka peluang kepada pelanggan PPZ-MAIWP dan AmanahRaya menikmati pelbagai kemudahan serta manfaat secara bersama,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan, menegaskan bahawa MoU ini menjadi titik tolak kepada pembinaan ekosistem ekonomi Islam yang kukuh, mampan dan progresif, menggabungkan kepakaran agensi zakat serta pengurusan harta pusaka.
Menerusi kerjasama ini, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan termasuk:
-
Perkhidmatan rundingan zakat dan wakaf tunai secara fizikal dan dalam talian.
-
Penyediaan kaunter zakat bergerak dan digital.
-
Tawaran Kad Setia Hospital Pusrawi kepada pelanggan AmanahRaya yang membayar zakat harta sekurang-kurangnya RM10,000 setahun.
Kerjasama ini diharap bukan sahaja meningkatkan kesedaran awam terhadap zakat dan wakaf, malah memperkukuh peranan kedua-dua institusi dalam pembangunan sosioekonomi umat Islam di Malaysia.
— BERNAMA