Semasa

Program Jelajah Peduli Ummah : MAPIM Beri Harapan kepada Golongan Asnaf

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah melaksanakan Program Peduli Ummah edisi ke-7 di Desa Pandan, Kuala Lumpur, pada 27 Oktober 2024. Program ini mendapat kerjasama dan sokongan daripada Zus Coffee, NGO – Cinta Gaza Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Yayasan Wakaf Malaysia.

Dalam program ini, MAPIM menyumbangkan 210 kotak bantuan keperluan asas kepada golongan asnaf yang memerlukan. Majlis perasmian program ini disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Johari Bin Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa. Dalam ucapan perasmiannya, beliau memuji inisiatif ini kerana dilaksanakan terus di kawasan penerima, menjadikan bantuan lebih mudah diakses tanpa memberi beban tambahan kepada mereka.

Selain sumbangan keperluan asas, program ini juga menyediakan pelbagai kemudahan lain kepada penduduk setempat. MAPIM membawa Mobile Kitchen untuk menjamu penduduk yang hadir, serta Double Decker Mobile Clinic yang menawarkan rawatan dan khidmat nasihat kesihatan percuma. Inisiatif ini menunjukkan komitmen MAPIM dalam memberikan bantuan yang menyeluruh dan berkesan kepada masyarakat.

Program Jelajah Peduli Ummah telah dirancang untuk menjelajah ke lapan negeri dan memberi manfaat kepada 100,000 orang daripada semua lapisan masyarakat.

Kolonel Bersekutu (PA) Haji Muhammad Faris bin Hussain, Setiausaha Agung MAPIM, menyatakan rasa terima kasih kepada semua rakan kerjasama dalam program ini. Beliau menekankan pentingnya kerja berpasukan yang melibatkan individu, syarikat korporat, NGO, dan agensi kerajaan untuk mencapai matlamat murni ini.

Antara penerima sumbangan, Napsah binti Hisham, seorang pesara, menyatakan rasa syukur terhadap bantuan yang diterima. “Kami sangat berterima kasih dengan sumbangan ini. Maklumlah, sekarang kos hidup pun meningkat dan sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban kami,” ujarnya.

Sejak dilancarkan pada tahun 2020 hasil ilham CEO MAPIM Malaysia, Dr. Sani Araby Al Kahery, Program Peduli Ummah telah memberi manfaat kepada lebih 200,000 rakyat Malaysia. Inisiatif ini bukan sahaja menunjukkan kepedulian terhadap golongan yang memerlukan, tetapi juga menggalakkan semangat kebersamaan dalam masyarakat. Dengan sokongan daripada pelbagai pihak, diharapkan program ini dapat diteruskan untuk memberikan lebih banyak kebaikan kepada rakyat Malaysia.

Related Articles

Back to top button