Dunia

Puluhan juta penduduk timur AS terjejas selepas dibadai ribut salji

WASHINGTON : Lebih 200,000 penduduk timur Amerika Syarikat (AS) terpaksa bergelap di kediaman masing-masing berikutan ribut salji yang melanda negara itu sehingga menyebabkan bekalan elektrik terputus.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) berkata, ribut salji itu membawa salji tebal, angin kencang dan hujan lebat sebelum bergerak ke New England dan selatan Kanada.

“Cuaca sejuk sudah pun melanda tengah AS dan keadaan yang dialami timur negara ini dijangka menjejaskan pelbagai sektor serta penduduk.

“Ribut salji yang melanda menyebabkan salji tebal sehingga 30 sentimeter,” jelas NWS dalam kenyataan.

Keadaan trafik turut terjejas dengan ribuan penerbangan dibatalkan dan kesesakan lalu lintas di beberapa lebuh raya utama.

Kira-kira 2,900 penerbangan domestik dan luar AS dibatalkan sehingga tengah hari semalam dan 2,400 lagi ditunda penerbangan.

Selain itu, Florida mengalami banjir di beberapa bahagian dan ribut salji juga telah mencetuskan tornado di kawasan itu, manakala kawasan Carolina dilanda angin kencang yang sejuk.

Gabenor Georgia, Brian Kemp mengisytiharkan darurat kelmarin, diikuti Virginia dan North Carolina.

Secara keseluruhannya, lebih 80 juta penduduk boleh terjejas akibat ribut salji tersebut.

– AGENSI

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button