
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah disenaraikan sebagai antara pemimpin paling berpengaruh di rantau Asia dalam laporan Indeks Kuasa Asia 2026 yang dikeluarkan oleh Institut Lowy.
Laporan penarafan berprestij tersebut meletakkan Anwar di kedudukan kelapan dengan mencatatkan skor sebanyak 46 mata, menurut satu hantaran di laman Facebook ABC Asia Australia.
Anwar turut melakar pencapaian tersendiri apabila menjadi salah seorang daripada hanya tiga pemimpin ASEAN yang berjaya tersenarai dalam kedudukan teratas tersebut. Dua lagi pemimpin ASEAN ialah Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, yang menduduki tempat ketiga dengan 74 mata, dan Presiden Vietnam, To Lam, di tempat ketujuh dengan 50 mata.
Presiden China, Xi Jinping, mendahului senarai penarafan kepimpinan politik dalam Indeks Kuasa Asia 2026 dengan mencatatkan skor sempurna 100 daripada 100 mata bagi aspek keberkesanan diplomatik di peringkat global.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, menduduki tempat kedua, manakala Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, masing-masing berada di kedudukan keempat dan kelima. Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung, pula berada di tempat keenam dalam senarai tersebut.
Penarafan yang disusun oleh badan pemikir yang berpangkalan di Australia, Institut Lowy ini, adalah bersandarkan kepada satu tinjauan komprehensif dalam kalangan pakar yang menilai sejauh mana keberkesanan para pemimpin politik dalam memajukan serta mempertahankan kepentingan diplomatik negara masing-masing di persada dunia.
Penarafan kepimpinan politik ini merupakan sebahagian daripada pengisian Indeks Kuasa Asia yang lebih menyeluruh, yang mengukur tahap kuasa dan pengaruh 27 buah negara serta wilayah di rantau berkenaan.
Sumber: BERNAMA







