Semasa
Raja Permaisuri berangkat ke majlis ceramah agama sempena Maulidur Rasul
KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke ceramah agama sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Istana Negara di sini, hari ini.
Ceramah bertajuk ‘Sunnah Nabi SAW di Akhir Zaman: Cabarannya?’ dengan pengisian ceramah berkisarkan sunnah, akhlak dan sirah Rasulullah SAW itu disampaikan Timbalan Mufti Pahang Datuk Badli Shah Alauddin.
Selain fadilat amalan istighfar dan selawat, antara pengisian ceramah adalah sifat zuhud Nabi Muhammad SAW yang perlu diteladani umat Islam dengan hidup secara bersederhana dan tidak menjadikan kehidupan dunia sebagai matlamat utama.
Terdahulu, kira-kira 350 kakitangan Istana Negara menyertai perarakan dan berselawat sempena sambutan Maulidur Rasul sejauh kira-kira 1.5 kilometer (km), bermula dari tapak parkir awam di pekarangan Istana Negara ke Dewan Mulia, di sini hari ini.
Perarakan itu diketuai Datuk Pengelola Bijaya Diraja Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin dan turut disertai Pegawai Agama Istana Datuk Munir Md Salleh bermula 9.30 pagi sehingga 10 pagi.
SUMBER: AWANI