PalestinSemasa

Netanyahu Jadikan Serangan di Gaza, Lubnan, Syria dan Iran Sebagai Modal Kempen Pilihan Raya

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, secara rasmi memulakan kempen pilihan raya bagi parti Likud dengan ucapan yang secara terbuka membanggakan kempen ketenteraan yang mengorbankan nyawa rakyat Palestin di Gaza, serta pencerobohan ke atas Lubnan, Syria, dan Iran.

Walaupun berdepan waran tangkap daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah perang, serta kritikan hebat berikutan kegagalan kerajaannya menghalang serangan 7 Oktober 2023, Netanyahu pada Khamis menegaskan bahawa hanya beliau dan partinya mampu “menjamin keselamatan Israel.”

Beliau turut menyenaraikan siri pencerobohan yang dilakukan oleh tentera Israel di rantau tersebut sejak 2023, sambil menegaskan, “Misi ini mesti diselesaikan; kita mesti menjatuhkan rejim Iran serta memusnahkan Hizbullah dan Hamas sepenuhnya.”

Netanyahu menuduh pesaing politiknya cuba melakukan “konsesi wilayah” (menyerahkan tanah), dan menggunakan kehadiran tentera Israel di Gaza, Lubnan, dan Syria sebagai bukti dasar perluasannya. “Kami merampas tanah, bukannya menyerahkannya,” tegas beliau. Beliau turut mengulangi dakwaan bahawa beliau “telah mengubah wajah Timur Tengah” dan berikrar untuk terus berbuat demikian.

Netanyahu kini memimpin kerajaan paling ekstrem dan berhaluan kanan dalam sejarah Israel. Di bawah pentadbirannya, Israel telah melancarkan perang genosid dan memperluas pembinaan penempatan haram Zionis di Tebing Barat. Beliau juga merupakan Perdana Menteri Israel pertama yang berdepan perbicaraan jenayah atas beberapa pertuduhan rasuah, namun beliau terus menafikan dakwaan tersebut.

Tinjauan pendapat menunjukkan pilihan raya yang dijadualkan pada 27 Oktober ini bakal berlangsung sengit. Blok sayap kanan dan ultra-Ortodoks pimpinan Netanyahu berdepan saingan hebat daripada blok berhaluan tengah yang diketuai Gadi Eisenkot, yang turut mendapat sokongan daripada parti-parti sayap kanan dan kiri.

Pencerobohan dan Angka Korban yang Terus Meningkat

Kempen pilihan raya ini berlangsung di sebalik ketegangan serantau yang terus memuncak. Walaupun perjanjian rangka kerja tajaan AS ditandatangani pada 26 Jun lalu di Washington bagi pengunduran tentera Israel secara berperingkat dan penempatan tentera Lubnan di wilayah yang dikosongkan, Israel dilaporkan terus melancarkan serangan dan menduduki wilayah di selatan negara itu.

Pada Khamis, kementerian berkuasa di Lubnan melaporkan angka korban akibat serangan Israel dari 2 Mac hingga 17 September telah meningkat kepada 4,386 orang, manakala 12,407 lagi tercedera. Secara keseluruhan sejak konflik bermula pada 8 Oktober 2023, jumlah korban di Lubnan telah mencecah 8,953 mangsa terbunuh dan 30,643 cedera.

Di Gaza, peperangan genosid yang berlarutan sejak Oktober 2023 terus mencatatkan kemusnahan berskala besar. Pegawai Palestin melaporkan hampir 80,000 rakyatnya terbunuh setakat ini, dengan ribuan lagi dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan. Walau bagaimanapun, pakar menganggarkan angka kematian sebenar adalah jauh lebih tinggi dan mungkin mencecah angka 200,000 orang.

Selain medan di Gaza dan Lubnan, tentera Israel telah melancarkan dua peperangan ke atas Iran sejak tahun lalu, serangan ke atas Yaman dan Qatar, serta pencerobohan darat dan bedilan artileri hampir setiap hari ke atas Syria. Dekad demi dekad, Israel terus menduduki wilayah Palestin, Lubnan, dan Syria, serta mengingkari ketetapan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendesak penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

(Sumber: TRT World & Agensi)

Related Articles

Back to top button