
KUALA LUMPUR: Angin kencang dijangka berlaku berterusan di timur Sabah dan Pantai Timur Semenanjung hingga 6 Februari ini dan keadaan itu boleh menyebabkan hujan di kawasan berkenaan pada sebelah pagi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam kenyataan menerusi Twitter memaklumkan, keadaan cuaca lembap itu dijangka berlaku di kebanyakan tempat dengan hujan pada sebelah pagi.
Ramalan itu berdasarkan analisis Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca MetMalaysia (MET-WRF), Pusat Ramalan Cuaca Julat-Sederhana Eropah (ECMWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS).
“Susulan itu, lokasi dijangka akan mengalami cuaca lembap yang membawa kepada hujan sebelah pagi adalah di Pantai Timur Semenanjung dan timur Sabah.
“Sementara itu, kawasan Barat Sabah, barat dan tengah Sarawak serta Pantai Barat Semenanjung khususnya Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan pedalaman Pahang dijangka mengalami ribut petir. Kawasan ini juga turut diramal berlaku hujan pada petang hingga awal malam,” kata MetMalaysia.
“Angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di perairan Laut China Selatan antara Selasa hingga Ahad depan (2 hingga 6 Februari).
Menurut ramalan cuaca signifikan bagi tempoh tujuh hari yang bermula esok, negeri utara Semenanjung dijangka berdepan cuaca panas dan kering.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.
Dalam pada itu, beberapa tempat di Sarawak diramalkan berlaku cuaca hujan dan ribut petir pada sebelah pagi Selasa dan Rabu pada sambutan Tahun Baharu China, namun tempat lain yang meliputi (Kuching, Samarahan, Serian, Sarikei dan Mukah) dan Sabah termasuk Kudat, tiada hujan.
Keadaan cuaca pada petang pula, hujan dan ribut petir dijangkakan berlaku di Kedah, Pulau Pinang, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak (Mukah, Bintulu, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang), Sabah (pantai barat, Pedalaman dan Sandakan) dan Labuan dengan tempat lain tiada hujan.
Pada sebelah malam, hujan dan ribut petir dijangka melanda beberapa kawasan di Perak, Selangor, Sarawak (Bintulu, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang) dan Sabah (pantai barat, pedalaman dan Kudat) serta Labuan dengan tempat lain tiada hujan.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today