Rentas negeri dibenarkan mulai esok bagi individu lengkap vaksin

PUTRAJAYA : Kerajaan bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia yang lengkap vaksinasi untuk merentas negeri bermula esok, 11 Oktober 2021.
Ia susulan jumlah peratusan rakyat Malaysia dewasa yang lengkap divaksinasi telah mencapai 90 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dengan keputusan itu rakyat bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya.
“Rentas negeri dibenarkan bermula esok. Pergerakan termasuk pulang ke kampung. Saya percaya ramai tertunggu pengumuman ini.
“Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
Dengan keputusan tersebut, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan terutama balik kampung berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, beliau berharap agar rakyat jangan ambil lewa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Oleh Hafeez Anuar