DomestikSemasa

RPM 2026-2035: Lembaran Baharu, Hala Tuju Strategik Pendidikan Negara Sedekad Akan Datang

Pelancaran Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 disifatkan sebagai pembukaan satu ‘lembaran baharu’ yang signifikan dalam sejarah sistem pendidikan negara, menetapkan hala tuju strategik yang jelas untuk tempoh sedekad akan datang.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelan induk yang diluncurkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, merupakan manifestasi komitmen kesungguhan kerajaan untuk memperkukuh dan melonjakkan mutu pendidikan nasional ke tahap yang lebih tinggi.

“Rancangan ini bukan sekadar dokumen, tetapi ia adalah hala tuju pendidikan negara untuk 10 tahun yang mendatang,” tegasnya menerusi satu hantaran di media sosial.

RPM 2026-2035 merupakan sebuah rancangan strategik yang bersifat menyeluruh, merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara bermula daripada peringkat prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) sehinggalah ke peringkat menara gading di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurut Fadhlina, pelan ini menggariskan beberapa prakarsa penting yang menjadi tumpuan utama. Antaranya termasuklah penambahbaikan aspek pengukuran pencapaian murid, peluasan akses kepada pendidikan awal, pengukuhan kurikulum kebangsaan agar kekal relevan, serta memberi keutamaan kepada kebajikan para guru. Selain itu, peluasan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut menjadi agenda utama.

Menyifatkan pendidikan sebagai nadi sesebuah negara, beliau menyeru komitmen padu daripada seluruh lapisan masyarakat dan pemegang taruh untuk berganding bahu memastikan kejayaan pelaksanaan RPM ini demi masa depan generasi anak-anak Malaysia.

“Ayuh, kita jayakan RPM 2026-2035 demi anak-anak Malaysia. Tahun ini, tahun kita,” katanya lagi.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button