Semasa

Sampah, daun kering punca jalan berkembar tertinggi di Malaysia ditakungi air

GEORGETOWN : Insiden takungan air di bahagian penghujung jejantas Jalan Bukit Kukus menghala ke Jalan Tun Sardon dipercayai berpunca daripada sampah sarap serta daun kering.

Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), laluan tersebut kini kembali sempurna dan selamat digunakan oleh orang awam selepas kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan segera.

“Takungan air ini adalah disebabkan berlakunya hujan lebat di kawasan tersebut.

“Siasatan dibuat mendapati terdapat daun-daun kering serta sampah-sarap yang telah menghalang laluan air keluar dari sistem perparitan dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang dikenali sebagai jalan berkembar tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 61.5 meter itu ditakungi air selepas hujan lebat petang semalam.

Sementara itu MBPP turut berharap agar orang awam dapat bersama-sama mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah sewenang-wenangnya di kawasan itu.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button