DomestikSemasa

“Saya Tidak Beli Kereta BMW Baharu” – PM Anwar Tempelak Dakwaan Palsu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini tampil menyelar dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak bertanggungjawab di media sosial kononnya beliau membeli sebuah kenderaan mewah baharu berjenama BMW untuk kegunaan peribadi.

Anwar menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu pembohongan yang sengaja direka untuk memburukkan imej beliau.

“Ada orang cakap Anwar ini cakap nak tolong orang miskin tapi dia beli kereta besar, kereta baharu BMW… saya tak beli, itu kereta lama… apa pasal mahu tipu,” kata beliau.

Kenyataan tegas itu disampaikan ketika beliau berucap pada program Yok! Merahkan Johor! Undi Harapan di Senggarang, malam tadi. Program berkenaan turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi merangkap Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil, serta barisan calon PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Kereta Mercedes Kurniaan Agong, Didaftar Atas Nama JPM

Mengulas mengenai status kenderaan jenis Mercedes yang sering digunakannya ketika ini, Perdana Menteri menjelaskan kenderaan mewah berkenaan merupakan kurniaan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Beliau menegaskan kenderaan tersebut sama sekali tidak diambil sebagai hak milik persendirian, sebaliknya telah didaftarkan secara rasmi di bawah aset Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Jangan fikir saya macam orang lain, sakau dan curi duit rakyat,” tambah beliau.

BMW Yang Tular Adalah Aset Sedia Ada Kerajaan

Isu pemilikan ini mula menjadi bualan selepas beberapa hantaran tular di media sosial mempertanyakan kenderaan BMW yang dinaiki Perdana Menteri baru-baru ini.

Sebelum ini, JPM bersama Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) menerusi satu kenyataan rasmi pada Isnin lepas telah pun menjelaskan perkara sebenar. Pihak JPM mengesahkan bahawa kenderaan BMW terbabit bukanlah kenderaan rasmi baharu yang dibeli, melainkan sebahagian daripada logistik sedia ada milik kerajaan.

Kenderaan itu merupakan aset di bawah seliaan BIUPA yang khusus digunakan bagi tujuan urusan logistik rasmi negara.

Jelajah politik Perdana Menteri ke Johor malam tadi adalah bagi memberikan sokongan padu kepada jentera dan calon-calon PH, termasuk Onn Abu Bakar (DUN Senggarang), Mohd Khuzzan Abu Bakar (DUN Semerah), dan Felicia Poh Rui Ling (DUN Penggaram) menjelang hari pengundian PRN Johor pada Sabtu ini.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button