Dunia

Selatan Filipina dibadai Taufan Rai

MANILA : Pulau Siargao di selatan Filipina telah dilanda salah satu ribut paling kuat, Taufan Rai semalam, menurut biro cuaca Filipina.

Bencana tersebut memaksa ribuan penduduk di sepanjang laluannya berpindah ke tempat lebih selamat.

Menurut Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina, tiupan angin maksimum mencecah 195 kilometer sejam (km/j) dengan ribut sehingga 240 km/j apabila ia menghampiri Siargao di wilayah Surigao del Norte pada 1:30 petang (waktu tempatan).

Mengulas lanjut, Rai bertiup ke arah barat laut pada kelajuan 30 km/j dengan “angin taufan kuat yang memusnahkan” dan hujan lebat di banyak wilayah di laluannya.

Rai diramalkan bergerak ke arah barat dan merentasi beberapa wilayah di wilayah tengah Filipina sebelum muncul di atas Laut Sulu pada pagi ini.

Ia diramalkan merentasi wilayah utara atau tengah Palawan pada petang atau Jumaat malam.

Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan berkata, proses pemindahan terhadap lebih 45,000 orang di tengah Filipina dan utara Mindanao dijalankan, termasuk perkampungan pesisir pantai ke tempat selamat berikutan ancaman banjir kilat dan gelombang ribut.

Pengawal Pantai Filipina (PCG) berkata kira-kira 1,800 bot kargo dan lebih 80 kapal melibatkan 4,000 orang terkandas di Filipina tengah, Wilayah Bicol dan timur laut Mindanao akibat ancaman taufan.

Sementara itu, Gabenor wilayah Samar Timur, Ben Evardone, berkata hampir 30,000 penduduk membabitkan 21 daripada 23 bandar di wilayah itu telah dipindahkan.

“Kita sudah pun merasai kesan hujan lebat dan angin kencang terutama di bahagian selatan wilayah itu,” katanya.

Terletak di Lingkaran Api Pasifik, Filipina sangat terdedah kepada pelbagai bahaya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara kepulauan itu telah dilanda bencana besar, termasuk taufan super Haiyan pada 2013 dan letusan gunung berapi Taal pada Januari 2020.

– BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button