
Sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin cedera selepas beberapa serangan dilakukan oleh peneroka haram Israel yang disokong tentera rejim di pelbagai kawasan Tebing Barat yang diduduki.
Menurut laporan agensi berita rasmi Palestin, Wafa, insiden utama berlaku berhampiran perkampungan Al-Minya di tenggara Bethlehem apabila sekumpulan peneroka bersenjata menyerang penduduk dan melepaskan tembakan, menyebabkan tiga orang cedera di bahagian bawah badan. Mereka segera dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.
Ketua majlis kampung, Zayed Kawazbeh, berkata peneroka turut membawa ternakan mereka meragut di antara pokok zaitun milik penduduk Palestin, tindakan yang disifatkannya sebagai provokasi disengajakan untuk memaksa penduduk berpindah dan merampas tanah di sekitar penempatan haram berdekatan. Tentera Israel dilaporkan hadir di lokasi kejadian dan memberi perlindungan kepada peneroka tersebut.
Serangan lain turut dilaporkan di kampung Burin, selatan Nablus, di mana penduduk Palestin yang sedang menuai buah zaitun diserang. Peneroka turut menyerang petani dan sukarelawan antarabangsa di Gunung Qamas, timur bandar Beita, serta membakar pokok zaitun dan mencuri beberapa beg hasil tuaian.
Di Lembah Jordan, komuniti Khirbet Makhul turut menjadi sasaran apabila kumpulan peneroka menyerbu kawasan itu, menimbulkan ketakutan dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.
Pada petang yang sama, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan lapan lagi kecederaan di bandar Nablus, Tell, Burin dan Sebastia akibat serangan gabungan peneroka haram dan tentera Israel.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) menyatakan bahawa musim menuai zaitun tahun ini mencatat tahap tertinggi serangan peneroka sejak 2020, dengan 126 serangan di 70 kawasan dan lebih 4,000 pokok zaitun musnah. Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok Palestin pula merekodkan 259 serangan terhadap rakyat Palestin oleh tentera dan peneroka sejak musim tuaian bermula pertengahan Oktober.
Serangan di Tebing Barat semakin meningkat sejak Oktober 2023. Setakat ini, lebih 1,062 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 10,300 cedera akibat tindakan ganas Israel, menurut angka rasmi Palestin.
Pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah haram dan menggesa pemindahan segera semua penempatan haram di Tebing Barat serta Baitulmaqdis Timur.
Sumber: Anadolu Agency (AA)







