DomestikSemasa

STR Fasa 1 Mula Disalur Hari Ini, Manfaat 5 Juta Penerima – PM Anwar

Kerajaan MADANI hari ini mula menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 bagi tahun 2026 yang bakal memberi manfaat kepada lima juta penerima di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa penyaluran bantuan tunai ini melibatkan 3.7 juta isi rumah serta 1.3 juta warga emas tanpa pasangan. Para penerima yang layak akan menerima bayaran antara RM100 hingga RM500 bergantung kepada kategori kelayakan masing-masing.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Anwar menjelaskan bahawa pelaksanaan STR kali ini telah ditambah baik dan disepadukan dengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Langkah integrasi ini bertujuan memastikan golongan yang layak menerima bantuan secara lebih konsisten dan berkesinambungan bagi menampung keperluan asas harian.

Menurut beliau, STR disediakan sebagai bantuan tambahan yang disalurkan secara suku tahunan bagi memberikan ruang kewangan kepada rakyat pada waktu puncak seperti musim perayaan. Manakala SARA pula berfungsi sebagai sokongan asas bulanan yang lebih stabil untuk kelangsungan hidup penerima.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa Kerajaan MADANI giat berusaha memastikan setiap rakyat dapat menjalani kehidupan yang bermaruah tanpa ada yang terpinggir dalam mendepani tekanan kos sara hidup semasa. Beliau turut berharap agar bantuan kewangan yang disalurkan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua penerima.

SUMBER: BERNAMA

Related Articles

Back to top button