
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mencadangkan penubuhan satu prinsip teras tadbir urus wakaf yang boleh diterima pakai di peringkat antarabangsa bagi memperkukuh pengurusan hartanah dan dana Islam di seluruh dunia.
Baginda bertitah bahawa rangka kerja berkenaan boleh dibangunkan berasaskan standard sedia ada dari Indonesia, Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI), serta Kazakhstan. Sultan Nazrin turut mencadangkan universiti Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dipertimbangkan untuk bertindak sebagai sekretariat.
“Mari kita wujudkan kumpulan kerja yang bertaraf antarabangsa, telus, dan kumpulan kerja rundingan… bagi meluas ia menjadi satu set prinsip teras yang boleh diterima pakai secara sukarela oleh institusi wakaf.
“Tidak perlu bermula daripada peringkat awal, sebaliknya menggabungkan semua usaha sedia ada dan membuka ruang kepada pembangunan panduan wakaf antarabangsa yang benar-benar inklusif,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. Turut hadir ialah Premier Sarawak merangkap Presiden PERKIM, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Guna Platform Digital & Projek Perintis ‘Wakaf untuk Keamanan Planet’
Dalam titah baginda, Sultan Nazrin turut menekankan kepentingan mempercepat peralihan ke arah platform wakaf tunai digital yang dilengkapi dengan papan pemuka (dashboard) awam masa nyata bagi meningkatkan tahap ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Di samping itu, baginda mengusulkan pelancaran projek perintis bertajuk “Wakaf untuk Keamanan dan Daya Tahan Planet” yang melibatkan kerjasama institusi terpilih di Malaysia, Indonesia, dan negara ASEAN lain. Inisiatif ini bertujuan membiayai sektor tenaga boleh diperbaharui serta infrastruktur berdaya tahan iklim sambil memupuk pemeliharaan alam sekitar.
Atasi Aset Terbiar & Tegakkan Amanah
Sultan Nazrin turut menyuarakan kebimbangan mengenai kepincangan pengurusan aset wakaf masa kini yang menyebabkan potensi ekonomi ummah terjejas.
“Terlalu banyak aset wakaf kita hari ini terbiar. Tanahnya tidak dimanfaatkan, rekodnya tidak lengkap, pertikaian hak milik dan potensinya tidak direalisasikan.
“Kini tiba masanya untuk bertindak. Jangan biarkan generasi kita hanya sekadar mengagumi pencapaian nenek moyang tanpa meninggalkan sebarang sumbangan…” tegas baginda, sambil mengingatkan pemegang amanah supaya mengekalkan integriti tertinggi.
Sumber Utama: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), 27 Julai 2026.






