
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menegaskan bahawa pembinaan setiap rumah ibadat di negeri ini wajib mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan bagi menjamin keharmonian masyarakat majmuk.
Baginda bertitah, tindakan membina rumah ibadat tanpa melalui saluran sah bukan sahaja melanggar peraturan, malah berisiko mencetuskan salah faham serta ketegangan antara kaum dan agama di negeri tersebut.
“Undang-undang bukan bertujuan untuk menyekat atau menindas mana-mana pihak, sebaliknya ia berfungsi untuk menyelaraskan serta menjamin keadilan dan keharmonian bersama,” titah baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik di Portal Rasmi Kesultanan Pahang, hari ini.
Analogi Membina Rumah Tanpa Pelan
Al-Sultan Abdullah menyampaikan titah berkenaan sewaktu keberangkatan baginda bagi merasmikan Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah di Taman Bukit Bendera, Temerloh, semalam.
Baginda turut memberikan peringatan bahawa tindakan membelakangkan undang-undang hanya akan mengundang kekeliruan dan perbalahan dalam kalangan rakyat.
“Ibarat membina rumah tanpa pelan, akhirnya ia akan roboh menyembah bumi,” titah baginda bagi menggambarkan kepentingan ketertiban dan kepatuhan kepada peraturan sedia ada.
Saranan Kepada Pihak Berkuasa Dan Komuniti
Dalam titah yang sama, baginda menyeru agar pihak berkuasa tempatan (PBT), jawatankuasa rumah ibadat bukan Islam, Jabatan Agama Islam (JAIP), serta pemimpin komuniti untuk bekerjasama erat. Ini termasuk memperjelaskan prosedur yang betul serta memberikan bimbingan sewajarnya kepada masyarakat.
Baginda turut mengingatkan seluruh rakyat Pahang supaya sentiasa bersikap matang dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan bagi memastikan perpaduan negeri terus terpelihara dan mengelakkan sebarang sengketa yang tidak diingini.
Sumber: BERNAMA





