SemasaSukan

Sze Fei-Nur Izzuddin Calon Juara Dunia 2026 – Razif Sidek

Pasangan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, dinilai mempunyai potensi besar untuk merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Dunia 2026 yang dijadualkan berlangsung di New Delhi, India dari 17 hingga 23 Ogos depan.

Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek berkata, peningkatan ketara yang dipamerkan oleh pasangan nombor tujuh dunia itu membuktikan mereka kini bersedia untuk bergelar juara dunia. Ini termasuklah kejayaan sensasi mereka menamatkan kemarau 18 tahun Malaysia untuk menjuarai Terbuka Indonesia 2026 di Istora Senayan, Jakarta, semalam.

Dalam aksi final tersebut, Sze Fei-Nur Izzuddin bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menundukkan wakil tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin dengan keputusan 13-21, 21-18, 21-10 dalam tempoh 49 minit.

Razif, yang pernah menjuarai Terbuka Indonesia bersama adiknya, Datuk Seri Jalani Sidek pada tahun 1988 dan 1990, menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti kekentalan mental yang tinggi. Menurutnya, bukan mudah untuk menyerap tekanan hebat daripada sorakan padu penyokong lawan di lokasi ikonik bersatus Super 1000 berkenaan.

Beliau turut menambah bahawa pencapaian menumbangkan pilihan utama yang juga juara bertahan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dengan mata 21-18, 17-21, 21-16 di peringkat separuh akhir, menjadi isyarat jelas bahawa mereka adalah pencabar utama di Kejohanan Dunia tahun ini.

“Sejat empat kejohanan terakhir, saya lihat kemajuan, strategi dan tahap keyakinan mereka semakin meningkat serta mereka berjaya melakukan tepat pada masanya.

“Jadi, ia sukar dipercayai, tak sangka mereka main begitu baik sepanjang Terbuka Indonesia. Saya harap mereka dapat mengekalkan (prestasi). Sudah tentu ada peluang dan harap mereka berjaya pada Kejohanan Dunia kali ini,” katanya kepada Bernama.

Tuah Lembah Istora Senayan

Kemenangan bermakna Sze Fei-Nur Izzuddin menyaksikan Malaysia kembali menawan gelaran beregu lelaki Terbuka Indonesia buat kali pertama sejak kali terakhir dilakukan oleh gandingan Zakry Abdul Latif-Fairuzizuan Tazari pada edisi 2008.

Selaku juara, gandingan negara membawa pulang hadiah wang tunai lumayan berjumlah USD107,300 (RM432,365), manakala pasangan tuan rumah selaku naib juara menerima USD50,750 (RM204,533).

Pencapaian ini juga merupakan kejuaraan kedua buat Sze Fei-Nur Izzuddin di Istora Senayan bagi tahun ini, selepas mereka berjaya mendakap gelaran Indonesia Masters 2026 dengan menewaskan lawan yang sama pada Januari lepas. Malah pada bulan lepas, mereka turut muncul sebagai naib juara Malaysia Masters 2026.

(Sumber: BERNAMA)

Related Articles

Back to top button