
Perbincangan peringkat sekretariat antara Thailand dan Kemboja selama tiga hari sejak Isnin lalu berjaya mencapai kesepakatan asas berhubung pelaksanaan gencatan senjata di sempadan kedua-dua negara.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, persetujuan itu turut meliputi terma rujukan (TOR) pemantauan oleh Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN interim dan Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN (AOT).
“Alhamdulillah, kesepakatan telah dicapai secara dasar. Namun, masih ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi dan akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa esok,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mesyuarat sekretariat itu berlangsung di Wisma Perwira, ATM, dengan kehadiran 40 wakil dari Thailand dan Kemboja sebagai persediaan kepada Mesyuarat GBC Luar Biasa.
Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN interim disertai oleh Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Vietnam serta Malaysia selaku pemudah cara mesyuarat, tanpa penyertaan langsung dalam rundingan sekretariat.
Thailand dan Kemboja sebelum ini bersetuju melaksanakan gencatan senjata berkuat kuasa tengah malam 28 Julai lalu, hasil mesyuarat khas di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.
Persetujuan itu dicapai susulan ketegangan di kawasan sengketa Preah Vihear sejak 28 Mei lepas yang mengakibatkan seorang anggota tentera Kemboja terkorban.
— BERNAMA