Covid19Semasa

Tiada bayaran permit, sewa tapak bagi peniaga bazar Ramadan di Johor

Untuk memulihkan sektor ekonomi ketika pandemik COVID-19

JOHOR BAHRU 1 April – Kerajaan negeri akan memberikan pengecualian bayaran permit, sewa tapak, lesen sementara dan yuran pendaftaran serta wang proses kepada peniaga bazar Ramadan pada tahun ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tuan Haji Ayub Jamil menjelaskan pengecualian bayaran itu diberikan berikutan penularan COVID-19 dan pemulihan sektor ekonomi.

“Pada tahun ini, sebanyak 9,609 petak jualan disediakan untuk peniaga-peniaga menjalankan perniagaan di 193 lokasi tapak bazar Ramadan di semua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor yang terdiri daripada bazar jualan juadah berbuka puasa dan bazar Aidilfitri. Bayaran yang boleh dikenakan kepada peniaga bazar hanya bagi perkara meliputi khemah, apron, kebersihan atau pengurusan sisa pepejal, kawalan keselamatan dan utiliti,” – Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan / Tuan Haji Ayub Jamil

Menurut beliau, operasi bazar Ramadan di seluruh kawasan PBT di negeri ini dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebagaimana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tindakan menghentikan atau menutup operasi bazar Ramadan boleh diambil jika berlaku penularan wabak COVID-19 di kawasan tersebut. Justeru, PBT, penganjur, peniaga dan pengunjung perlu mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan operasi bazar Ramadan pada tahun ini dapat diadakan selaras dengan pematuhan amalan normal baharu bagi tempoh sebulan,” – Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan /Tuan Haji Ayub Ismail

Tambahnya lagi, menerusi mesyuarat penyelarasan penganjuran bazar Ramadan bersama PBT di negeri ini pada 21 Mac lalu beberapa peraturan telah dipersetujui bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung sepanjang penganjuran bazar Ramadan.

“Antaranya lokasi bazar Ramadan di kawasan terbuka perlu menyediakan laluan sehala dengan pintu masuk dan keluar berbeza dan pendaftaran dengan mengimbas MySejahtera di pintu masuk. Selain itu waktu operasi bazar Ramadan dari jam 3.00 petang hingga 8.00 malam sementara bazar Aidilfitri dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam,” – Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan/Tuan Haji Ayub Ismail

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan – Hafeez Anuar

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button