KerohanianSemasa

Tok Ku Paloh : Kisah seorang pejuang Islam dan wali Allah

Tok Ku Paloh atau nama sebenarnya adalah Sayyid Abdul Rahman Sayyid Muhammad Al-Idrus telah dilahirkan pada tahun 1817 bersamaan 1233 Hijrah di Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

Nama beliau cukup terkenal di Terengganu khususnya kerana telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan tanah air. Beliau juga dikenali Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu.

Tok Ku Paloh adalah daripada keturunan Ahlil Bayt Rasulullah dan merupakan generasi yang ke-36 daripada Baginda SAW beraqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafie, sebagaimana leluhurnya keluarga Besar Ba’lawi yang berasal dari wilayah Hadramaut selatan Yaman.

Tok Ku Paloh mendapat didikan awal agama daripada ayahnya sendiri yang juga merupakan tokoh ulama terkemuka Negeri Terengganu iaitu Tok Ku Tuan Besar atau nama sebenarnya Sayyid Muhammad Zainal Abidin Al-Idrus manakala ibunya Tokku Tuan Besar Hajah Aminah.

Sayyid Mohammad atau Tok Ku Tuan Besar, dilahirkan di Kampung Tok Ku, Cabang Tiga di Kuala Terengganu pada tahun 1211 Hijrah.

Menurut catatat sejarah, Tok Ku Paloh pernah menuntut ilmu dengan Haji Wan Abdullah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Tok Syeikh Duyong, juga merupakan seorang Mufti dan ulama tersohor Negeri Terengganu sebelum beliau meneruskan pengajiannya ke Mekah.

Setelah hampir 10 tahun berada di Mekah menimba ilmu, Tok Ku Paloh akhirnya pulang ke Negeri Terengganu dan mengajar di masjid ayahandanya, Tok Ku Tuan Besar di Chabang Tiga sebelum berpindah ke Kampung Paloh.

Kampung Paloh merupakan sebuah kampung di tepi sungai Terengganu dan terletak kira-ira tujuh kilometer dari Kuala Terengganu.

Di sinilah Tok Ku Paloh membuka madrasah dan pondok untuk memperluaskan lagi ajaran dan dakwah Islam.

Antara murid Tok Ku Paloh yang terbilang ialah Haji Ismail, yang merupakan seorang Qadhi Kampung Jambu, Patani, Thailand dan juga Haji Abdul Rahman Limbong seorang pejuang yang menentang British pada tahun 1928.

Tokku Paloh juga memiliki ilmu dalam bidang kerohanian terutama ilmu tasawuf dan sufi. Beliau pernah menjadi khalifah kepada Tareqat Naqsyabandiah dan turut mengamal serta mengembangkan amalan Syahadat Tokku iaitu satu amalan yang disusun oleh bapanya.

Disebabkan kemasyhuran ilmu dan wara’ serta ketinggian akhlak dan kelebihan lain yang ada pada Tok Ku Paloh, Sultan Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin ke-3 telah menjadikan Tok Ku Paloh sebagai guru.

Tok Ku Paloh juga diamanahkan Sultan Zainal Abidin III bagi mentadbir kawasan Paloh selain mengawasi beberapa daerah di Hulu Terengganu antaranya Kuala Berang hingga Cabang Tiga.

Antara jasa Tok Ku Paloh kepada negeri Terengganu adalah beliau terlibat sama menggubal undang-undang tubuh negeri Terengganu yang berdasarkan kepada Syariah Islam yang diberi nama “Itqan Al Muluk Bi Ta’dil Al Suluk”.

Sebagai seorang yang bertanggungjawab menasihatkan pemerintah dan memastikan hala tuju negara tidak tersasar, Tok Ku Paloh mengingatkan pemerintah Terengganu khususnya agar tidak sesekali terjerumus ke dalam tipu daya penjajah.

Ingatan ini diabadikan di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu di dalam fasal “Tegahan di Atas Raja” seperti berikut:

“Maka tiada lulus dan tidak sah sesekali Raja membuat perjanjian atau ikhtiar melepas atau menyerahkan negeri dan kerajaannya atau suatu bahagian daripada kuasa kerajaan kepada sebarang mana-mana kerajaan atau kepada kuasa-kuasa Eropah atau lainnya.

Hasil daripada peranan Tok Ku Paloh inilah, akhirnya mendorong Sultan Zainal Abidin ke-3 membekukan Perjanjian 1910 seterusnya dapat mengelakkan Terengganu buat beberapa ketika daripada jatuh ke tangan British.

Tok Ku Paloh meninggal dunia pada malam sabtu 1 Zulhijjah 1337 Hijrah bersamaan 7 September 1918 Masihi ketika berumur hampir 100 tahun.

Sabtu lalu, Majlis Sambutan Haul Tok Ku Tuan Besar & Tok Ku Paloh telah diadakan dan ia adalah majlis yang bertujuan memperingati tokoh-tokoh ulama yang disanjungi dan banyak memberikan kesan terhadap pembangunan agama Islam di Malaysia.

Majlis ini pertama kali disambut adalah pada tahun 2015 lalu dan menjadikan Masjid Tok Ku Tuan Besar sebagai lokasi utama sambutan.

2021 merupakan tahun yang ke-7 sambutan ini diraikan dan tahun ini ia dijalankan secara maya disebabkan keadaan pandemik yang melanda.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah Maulid Dhiya’ Ulami, Manaqib, Ratib Aydrus, Qasidah, Tausiyah dan Munajat Burdah.

Oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button