PendidikanSemasa

Tuduhan sekolah agama diarah tutup adalah tidak bertanggungjawab!

PUTRAJAYA: Dakwaan lebih 200 buah sekolah agama di Selangor diarah tutup adalah tidak berasas serta satu tuduhan yang tidak bertanggungjawab tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar.

Menurutnya, satu garis panduan pemutihan telah dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2021, bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan para pelajar serta seluruh warga institusi tahfiz persendirian.

“Ia ekoran kejadian insiden kebakaran sehingga melibatkan kemalangan jiwa di sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur pada 2017,” jelasnya menerusi hantaran video di platform media sosial rasminya pada Khamis.

Pada Selasa, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam Selangor dan Negeri Sembilan menyuarakan kebimbangan terhadap isu amaran penutupan sekolah agama di negeri itu.

Pengerusi Sekretariat NGO berkenaan, Datuk Nazilah Idris memaklumkan, lebih 200 sekolah agama rakyat dinafikan apabila diberikan surat amaran untuk keluar daripada premis perniagaan yang disewa.

Mengulas lanjut, Dr Haji Mohd Na’im menjelaskan, pada masa sama, penguatkuasaan garis panduan tersebut telah mendapat kerjasama daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 institusi Sekolah Agama Persendirian.

Foto arkib sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur terbakar pada 2017

Tambahnya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dimaklumkan sejak 2021 bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui kerajaan negeri telah menetapkan pihak sekolah perlu memenuhi syarat pendaftaran menerusi garis panduan pemutihan yang dikeluarkan.

“Kelonggaran telah diberikan kepada pihak sekolah selama dua tahun. Dalam tempoh ini, pihak JAIS telah mengeluarkan pendaftaran lanjutan kepada pihak sekolah bagi memberi peluang pihak sekolah mendapatkan ulasan dari agensi yang berkaitan”.

“Dakwaan pihak berkaitan yang kononnya amaran telah diberikan kepada sekolah agama persendirian supaya diarah keluar dari premis adalah tidak benar sama sekali dan berniat menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam,” kata beliau.

Tegasnya, semua pihak digesa supaya merujuk isu tersebut kepada pihak berkuasa supaya fakta dan konteks sesuatu isu itu tepat serta jelas.

BACA JUGA
PKP bukan halangan MAPIM sampaikan amanah ummah kepada tahfiz

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button