Covid19Semasa

Ujian kendiri Covid-19 murid di rumah mulai hari ini

PUTRAJAYA : Murid sekolah akan melaksanakan ujian sarian bergilir Covid-19 secara kendiri di rumah bermula hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, ia adalah sebagai salah satu langkah dalam Pengujian Covid-19 Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, pihak sekolah sudah mengenal pasti murid terlibat dalam pelaksanaan ujian saringan pada minggu ini.

“Kit ujian kendiri berserta slip pengesahan pelaksanaan ujian kendiri Covid-19 diedarkan kepada murid pada Rabu untuk dibawa pulang.

“Keputusan ujian saringan perlu dilaporkan kepada pihak sekolah pada 13 Januari,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Kementerian itu berkata, murid boleh hadir ke sekolah sekiranya keputusan negatif namun jika positif, ibu bapa atau penjaga hendaklah membawa anak mereka ke fasiliti kesihatan untuk tindakan lanjut serta memaklumkan kepada pihak sekolah.

“Jika keputusan ujian tidak sah, ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah dan murid akan menjalani semula ujian saringan apabila hadir ke sekolah,” katanya.

Mengulas lanjut, KPM akan mengeluarkan surat siaran berkaitan penyelarasan semula pelaksanaan ujian saringan Covid-19 bagi murid sekolah rendah dan prasekolah.

“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button