
Tiga negara Barat iaitu United Kingdom, Kanada dan Australia pada Ahad mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap Negara Palestin, sekali gus menyertai gelombang sokongan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap kenegaraan Palestin ketika perang Israel di Gaza menghampiri ulang tahun keduanya.
Perdana Menteri UK, Keir Starmer, berkata langkah itu diambil bagi menghidupkan semula prospek keamanan di Timur Tengah. “Dalam menghadapi kengerian yang semakin meningkat, kami bertindak untuk membuka semula peluang keamanan dan penyelesaian dua negara – Israel yang selamat di samping Palestin yang berdaya maju. Buat masa ini, kedua-duanya masih belum tercapai,” katanya. Pada Julai lalu, beliau pernah memberi amaran bahawa UK akan mengiktiraf Palestin sekiranya Israel gagal mengambil langkah substantif ke arah penyelesaian damai. Tindakan itu bagaimanapun dikecam oleh kerajaan Israel yang menyifatkannya sebagai “tidak masuk akal.”
Di Kanada, Perdana Menteri Mark Carney turut menegaskan sokongan negaranya terhadap Palestin. “Kanada mengiktiraf Negara Palestin dan menawarkan perkongsian kami dalam membina masa depan yang aman untuk Palestin dan Israel,” katanya dalam catatan di platform X. Pengumuman itu mengesahkan komitmen Kanada yang sebelum ini telah membayangkan hasrat untuk mengiktiraf Palestin ketika sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB pada September 2025.
Australia melalui Perdana Menteri Anthony Albanese bersama Menteri Luar Penny Wong pula mengumumkan pengiktirafan serentak, dengan menyatakan bahawa langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha menghidupkan momentum penyelesaian dua negara yang bermula dengan gencatan senjata di Gaza serta pembebasan tebusan.
Langkah ketiga-tiga negara ini menyusuli pengumuman serupa oleh Perancis, Luxembourg dan Malta yang menyatakan hasrat untuk mengiktiraf Palestin. Pada Perhimpunan Agung PBB kali ini di New York, beberapa lagi negara termasuk Belgium, Portugal, Andorra dan San Marino dijangka membuat pengisytiharan yang sama. Presiden Perancis Emmanuel Macron menegaskan bahawa pengiktirafan itu adalah sebahagian daripada pelan damai, manakala Portugal mengesahkan proses pengiktirafan mereka sedang berjalan lancar dan bakal diumumkan secara rasmi pada sesi UNGA. Sehingga kini, Palestin telah diiktiraf oleh 147 daripada 193 negara anggota PBB, dan dengan pengumuman baharu di UNGA, angka itu dijangka meningkat kepada 157 buah negara.
Namun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengecam langkah pengiktirafan oleh UK, Kanada dan Australia sebagai “ganjaran besar kepada keganasan.” “Saya ada satu mesej: Ia tidak akan berlaku. Sebuah negara Palestin tidak akan ditubuhkan di barat Sungai Jordan,” katanya sambil memberi amaran bahawa Israel mungkin bertindak balas dengan langkah pengilhakan. Amerika Syarikat setakat ini tidak menghalang pengiktirafan Palestin oleh negara-negara Eropah, namun Setiausaha Negara Marco Rubio memberi amaran bahawa ia berpotensi mengundang tindak balas keras Israel serta menyukarkan proses damai di Gaza.
Langkah pengiktirafan oleh tiga negara Barat utama ini dilihat sebagai perkembangan penting dalam usaha menghidupkan semula penyelesaian dua negara, meskipun berdepan tentangan keras daripada Israel dan sekutunya.
Sumber: TRT World