Semasa

Warga emas, barisan hadapan mula terima dos penggalak vaksin Covid-19 – KKM

PUTRAJAYA : Warga emas dan anggota barisan hadapan yang lengkap dos vaksin sekurang-kurangnya enam bulan lepas akan mula menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera manakal bagi individu yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera, pemakluman akan dibuat melalui pesanan ringkas atau panggilan telefon oleh pusat pemberian vaksin (PPV).

“Dos penggalak merupakan dos tambahan yang perlu diberikan kepada seseorang yang belum mendapat perlindungan mencukupi selepas vaksinasi lengkap namun perlindungan tersebut menurun dari semasa ke semasa.

“Pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Objektif pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 adalah untuk memastikan tempoh perlindungan yang optimum diperoleh oleh penerima vaksin COVID-19 di Malaysia,” katanya.

Bercakap tentang pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksn itu, menurut Khairy klinik swasta akan memberikan vaksin kepada anggota barisan hadapan serta warga emas 60 tahun dan ke atas.

Mengulas lanjut, fasiliti kesihatan kerajaan pula akan memberikan vaksin kepada anggota kesihatan masing-masing manakala fasiliti kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi anggota barisan hadapan ATM.

Anggota kesihatan swasta boleh mendapatkan dos penggalak daripada fasiliti masing-masing bergantung kepada persetujuan Jabatan Kesihatan Negeri.

Khairy berkata pemberian dos penggalak akan melibatkan penerima dos lengkap vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer-BioNTech dahulu dan individu terbabit akan menerima vaksin yang sama (Comirnaty) kerana ia satu-satunya vaksin yang mendapat kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 8 Oktober lepas.

Khairy berkata pemberian dos tambahan pula akan diberikan kepada individu yang mempunyai imuniti rendah seperti pesakit kanser, penerima organ dan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis memandangkan pemberian dos lengkap tidak cukup untuk memberikan perlindungan optimum kepada mereka.

“Dos tambahan ini diberikan sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos lengkap vaksin COVID-19,” katanya.

Pemilihan vaksin bergantung kepada kelulusan indikasi penggunaan oleh pakar perubatan merawat serta bekalan vaksin yang tersedia sama ada daripada jenis yang sama (homologous) atau berlainan (heterologous) dengan dos terakhir, katanya.

“Pemberian dos tambahan ini akan diberikan di fasiliti kesihatan terpilih di bawah pemantauan pakar perubatan,” katanya.

Khairy berkata KKM juga merancang untuk memulakan kajian pemberian dos penggalak bagi jenis vaksin yang berlainan.

Kajian itu akan dilaksanakan di Sarawak bulan depan yang juga akan diperluaskan ke negeri lain selepas mendapat kelulusan oleh Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC), katanya.

 

Related Articles

Back to top button