DomestikSemasa

Waspada Mesej Tular: Dakwaan Bantuan STR, SARA RM600 Untuk Bujang di WhatsApp Adalah Palsu – MOF

Kementerian Kewangan (MOF) hari ini menegaskan bahawa mesej yang tular di aplikasi WhatsApp mengenai permohonan dan bayaran bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM600 khusus untuk kategori bujang adalah palsu.

Menerusi satu kenyataan di laman X (Twitter) rasmi, MOF menjelaskan bahawa pihak kementerian tidak pernah menggunakan platform media sosial seperti WhatsApp untuk sebarang urusan permohonan atau pembayaran bantuan kerajaan.

Terdahulu, satu pesanan palsu bertajuk ‘STR Bujang 2026 – Permohonan & Bayaran Bantuan SARA RM600 Untuk Yang Layak’ telah dikesan tersebar luas, yang berpotensi mengelirukan orang ramai.

Sehubungan itu, MOF menasihatkan masyarakat agar lebih berwaspada dan tidak menekan sebarang pautan yang mencurigakan atau berkongsi maklumat peribadi dengan pihak yang tidak dikenali melalui aplikasi pemesejan tersebut.

“Untuk maklumat sahih dan terkini mengenai sebarang bantuan kerajaan, sila rujuk saluran rasmi MOF sahaja,” tegas kenyataan itu.

Sebagai rekod, penyaluran STR Fasa 1 bagi tahun ini telah bermula semalam dengan peruntukan RM1.1 bilion, manakala bantuan SARA bulanan telah mula disalurkan sejak 9 Januari lepas kepada penerima yang layak mengikut pangkalan data rasmi kerajaan, bukan melalui tawaran di WhatsApp.

–Bernama

Related Articles

Back to top button