DomestikSemasa

Zizie Izette Bebas Semua Pertuduhan Bersubahat Kes Rasuah RM2.8 Juta

Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada ketiga-tiga pertuduhan bersubahat dalam kes rasuah berjumlah RM2.8 juta. Kes tersebut membabitkan pelaburan bernilai RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad, kira-kira 11 tahun yang lepas.

Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

“Selepas meneliti keseluruhan keterangan mahkamah ini memutuskan tertuduh berjaya membuktikan keraguan dalam kes ini dan pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.

“Oleh demikian, mahkamah ini memutuskan bahawa tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan,” jelas beliau ketika membacakan keputusan tersebut.

Emosi di Kamar Mahkamah

Zizie Izette, 47, yang juga merupakan isteri kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, dilihat tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja mendengar keputusan pembebasan tersebut dibacakan oleh hakim.

Sebelum ini, beliau berdepan dengan tiga pertuduhan bersubahat dalam kes penerimaan rasuah yang dikaitkan dengan pelaburan institusi berkenaan. Bagaimanapun, dengan keputusan terbaharu Mahkamah Sesyen hari ini, beliau kini bebas sepenuhnya daripada semua pertuduhan tersebut.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button