
Krisis kemanusiaan di Gaza semakin kritikal, dengan 1.1 juta kanak-kanak berdepan risiko kebuluran akibat sekatan ketat ke atas kemasukan bantuan dan makanan oleh Israel, menurut laporan Save the Children. Data terbaru daripada Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) mendedahkan bahawa 93% penduduk Gaza mengalami ketidakamanan makanan akut pada tahap krisis atau lebih teruk.
Laporan IPC memperingatkan bahawa Gaza kini berada di ambang kebuluran yang kritikal. Seorang ibu kepada empat anak di utara Gaza berkongsi penderitaan keluarganya: “Kami telah merasai kelaparan seperti merasai kematian. Anak-anak kami hanya menunggu giliran untuk mati.” Beliau berkata, keluarga terpaksa mengambil langkah drastik seperti memakan makanan haiwan, tepung luput, dan tepung bercampur pasir untuk terus bertahan.
Seorang bapa berusia 30 tahun di utara Gaza turut meluahkan keputusasaan: “Saya tidak tahu bagaimana nak menyara keluarga. Tiada makanan. Anak perempuan saya lemah, selalu sakit, dan isteri saya mungkin kehilangan bayi yang belum lahir kerana kelaparan.” Beliau menggambarkan situasi di Gaza sebagai “kekacauan” dan “tidak bermaruah.”
Pengepungan menyeluruh oleh Israel telah menyekat kemasukan makanan, air, dan ubat-ubatan, mendorong keluarga ke tahap kesengsaraan yang tidak dapat dibayangkan. Human Rights Watch (HRW) mengkritik rancangan Israel untuk merobohkan infrastruktur awam Gaza dan memindahkan penduduk ke kawasan kecil, menyebutnya sebagai jenayah terhadap kemanusiaan, pembersihan etnik, dan kemungkinan pembunuhan beramai-ramai.
HRW menyorot strategi yang dikenali sebagai “Rancangan Jeneral,” yang dicadangkan bekas jeneral Israel Giora Eiland. Pelan ini menggalakkan pemindahan paksa penduduk Gaza utara dan menganggap sesiapa yang tinggal sebagai pejuang, membenarkan tindakan ketenteraan terhadap mereka. Organisasi seperti HRW dan Amnesty International menyatakan tindakan ini melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mungkin memenuhi definisi Konvensyen Genocide.
Tanpa tindakan segera untuk menamatkan sekatan dan membenarkan bantuan masuk, Save the Children memberi amaran bahawa satu juta kanak-kanak berisiko mati akibat kelaparan dan penyakit. Seruan global kini bergema agar dunia bertindak untuk menyelamatkan nyawa di Gaza.
Sumber: TRT Global