
Seramai 12 senator Amerika Syarikat (AS) menggesa pimpinan Kongres memansuhkan tiga peruntukan dalam draf Akta Kebenaran Pertahanan Negara (NDAA) Tahun Fiskal 2027 yang bertujuan memperluas kerjasama teknologi pertahanan dan perkongsian perisikan dengan Israel.
Menerusi surat bersama yang digerakkan oleh senator seperti Chris Van Hollen, Bernie Sanders, dan Elizabeth Warren, penggubal undang-undang berkenaan menegaskan bahawa langkah mengunci komitmen pertahanan baharu tersebut bakal mengehadkan keupayaan Pentadbiran AS untuk menentukan strategi keselamatan nasional secara bebas. Kebimbangan ini disuarakan berikutan tindakan ketenteraan Israel di Gaza, Tebing Barat, serta rantau Timur Tengah yang dinilai semakin menjejaskan kepentingan serta nilai AS.
Cadangan yang dipertikaikan membabitkan Seksyen 1217 dan Seksyen 219 berhubung penubuhan “Inisiatif Kerjasama Teknologi Pertahanan AS-Israel” merangkumi bidang sensitif seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum, peperangan siber, bioteknologi, dan sistem autonomi. Selain itu, Seksyen 618 mewajibkan perluasan perkongsian risikan sambil menyekat kuasa cabang eksekutif daripada menggantung atau mengurangkan kerjasama berkenaan.
Para senator turut memberi amaran bahawa integrasi teknologi ini memberikan Israel pengaruh berlebihan ke atas pangkalan industri pertahanan Amerika. Langkah menyekat kuasa Presiden juga disifatkan tidak bertanggungjawab, terutamanya selepas Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) AS baru-baru ini meningkatkan tahap ancaman balas perisikan dari Israel ke tingkat tertinggi.
Sumber Maklumat: Anadolu Agency (AA)







