EkonomiSemasa

Batal atau gantung lesen pelancongan jika menipu pakej – MOTAC

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengambil tindakan terhadap agensi pelancongan haji dan umrah yang didapati menawarkan pakej berunsurkan penipuan mengenai isu badal haji.

MOTAC dalam satu kenyataan pada hari ini memaklumkan, pihaknya mengambil maklum mengenai isu badal haji yang ditawarkan oleh pengusaha yang aktif dalam media sosial sejak akhir-akhir ini.

“Kementerian sangat memandang serius terhadap tawaran pakej yang meragukan memandangkan harga pakej yang jauh lebih rendah daripada caj pakej dan permit Haji yang dikenakan oleh Kerajaan Arab Saudi.”

“MOTAC akan terus memantau perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang mana Seksyen 8(d) Akta 482 syarikat pengusaha pelancongan tidak boleh menjalankan perniagaan yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara dan boleh dikenakan penggantungan atau pembatalan lesen,” menurut kenyataan tersebut.

Tambahnya lagi, MOTAC menasihatkan orang ramai untuk membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap apa-apa pakej yang ditawarkan oleh pengusaha pelancongan dan bagi memastikan hak pembeli terpelihara kementerian ini akan mempertimbangkan syarikat berlesen sahaja.

“Senarai syarikat pelancongan yang berlesen dengan MOTAC boleh dirujuk di laman sesawang www.motac.gov.my/semakan/umrah,” katanya.

Semalam, di Facebook Tabung Haji juga ada menyiarkan kenyataan rasmi daripada Persatuan Pelajar Malaysia Mekah berkaitan ada pihak dan syarikat yang mengambil upah badal haji bagi tahun 2022 dengan kos terlalu rendah. Malah, ia mendakwa upah badal haji itu dilakukan oleh pelajar Malaysia Mekah.

Justeru itu, semua pihak yang ingin melakukan badal haji supaya berhati-hati dari tertipu dengan pihak yang tidak bertanggungjawab dan amanah.

Related Articles

Back to top button