
Perjuangan memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu tidak boleh dilakukan secara bermusim, sebaliknya perlu terus digerakkan secara berterusan menerusi kerjasama strategik bagi memastikan warisan bangsa kekal diwarisi generasi akan datang.
Sasterawan Negara merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Anwar Ridhwan, menegaskan bahawa institusi pengajian tinggi (IPT), media massa, dan pihak berkaitan perlu memperkukuh kerjasama bagi memanfaatkan khazanah ilmu serta karya klasik. Beliau turut menyarankan agar teks transliterasi naskhah Melayu lama didigitalkan dan diterbitkan bagi memperluas akses awam serta menjadi rujukan rujukan sarjana antarabangsa.
Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Hazami Jahari, memaklumkan bahawa penganjuran Pertandingan Transliterasi Jawi ke Rumi Naskhah Melayu Lama Peringkat Media dan Pertandingan Baca Naskhah Sulalatus Salatin Peringkat IPT sempena Dekad Membaca Kebangsaan 2026 membuktikan bahawa warisan sastera merupakan korpus ilmu hidup yang terus relevan sebagai pasak pembinaan peradaban bangsa.
Dalam majlis penyampaian hadiah berkenaan, pelajar Doktor Falsafah (PhD) Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Raja Nur Shazatul Aisyah Raja Idris, 26, dinobatkan sebagai johan Pertandingan Baca Naskhah Sulalatus Salatin Peringkat IPT. Manakala Pengurus Kanan Bahagian Langganan BERNAMA, Mohd Noor Atan, merangkul johan Pertandingan Transliterasi Jawi ke Rumi Peringkat Media. Kedua-dua pemenang utama membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, sijil penyertaan, serta buku terbitan DBP.
Sumber Maklumat: BERNAMA






