
WELLINGTON : Pantai di bahagian selatan New Zealand semalam menyaksikan sebanyak 29 daripada 34 ekor ikan paus mati selepas terkandas di pantai tersebut.
Jabatan Pemuliharaan New Zealand memberitahu, paus pilot sirip panjang itu ditemukan mati di pantai Farewell Spit semalam.
Jurucakap jabatan itu, Dave Winterburn berkata, lima lagi paus itu kini dalam penjagaan pihak berkuasa.
“Apa yang berlaku ketika ini amat menyedihkan, namun paus terkandas di tepi pantai merupakan fenomena semula jadi. Punca kejadian ini berlaku masih belum dapat dikenal pasti,” katanya.
Dalam tempoh 15 tahun lalu, pantai Farewell Spit sering menjadi lokasi paus terkandas, menyaksikan lebih 10 ekor haiwan itu mati di pantai berkenaan.
Pada Februari 2017 lalu, hampir 700 paus terkandas dengan 250 mati, sekali gus menjadikan ia tragedi paling teruk pernah berlaku.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan lagi oleh para saintis tentang mengapa pantai itu menjadi tapak maut untuk paus.
Namun, mereka tidak menolak kemungkinan bahagian cetek di pantai itu menjadi punca paus sering terkandas.
– AGENSI