KepenggunaanSemasa

Badal haji atau ‘bedal haji’?

Tular di media sosial termasuk di aplikasi TikTok ketika ini tentang dakwaan ada golongan menipu badal haji dengan menjadi wakil lebih daripada seorang.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melalui posting terkini di laman media sosial rasmi mereka mengingatkan pengguna agar memandang serius dakwaan yang semakin tular berkenaan.

Merujuk kepada tulisan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum mengerjakan badal haji bagi beberapa individu di dalam satu masa adalah tidak sah kerana badal haji hanya mencukupi untuk satu orang sahaja.

Terdapat beberapa hadis atau riwayat yang menyatakan tentang hukum mengerjakan haji bagi orang lain, salah satunya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا يَقُولُ: لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ، قَالَ: «مَنْ شُبْرُمَةُ؟» قَالَ: أَخٌ لِي – أَوْ قَرِيبٌ لِي – قَالَ: «حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ؟» قَالَ: لَا، قَالَ: «حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ»

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW mendengar seorang lelaki berkata: (Menyahut Panggilan-Mu “Ya Allah” daripada Syurbamah), Lalu baginda bersabda: Siapakah Syurbamah?, Maka lelaki tersebut menjawab : Saudaraku atau kerabatku. Baginda bersabda: (Kamu sudah menunaikan haji untuk dirimu?) Lelaki tu berkata: Tidak, Baginda bersabda: (Tunaikan haji untuk dirimu terlebih dahulu, kemudian tunaikan untuk Syurbumah).” [1]

(Sunan Abu Daud: 1811)

Kredit foto Kashful Azim Shaharuddin

Hukum mengerjakan badal haji ini adalah harus setelah seseorang itu menunaikan haji untuk dirinya dan telah memenuhi syarat-syarat bagi badal haji.

Namun bagi seseorang yang mengerjakan badal haji untuk beberapa individu dalam satu haji, hukumnya adalah tidak sah badal tersebut kerana badal haji itu hanya untuk satu orang sahaja. Dengan erti kata lain, seseorang itu dibolehkan untuk mengerjakan badal haji bagi seorang individu sahaja dalam satu tahun.

Jadi, kepada orang ramai terutamanya umat Islam di Malaysia disarankan agar lebih berhati-hati dengan tawaran badal atau upah haji yang ditawarkan oleh agensi pelancongan ataupun individu tertentu

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menasihatkan kepada mereka yang mengerjakan badal haji hendaklah menitikberatkan perkara seperti ini agar amanah dan ibadat badal haji yang dikerjakan itu sah di sisi hukum serta mendapat keberkatan dari Allah SWT.

Related Articles

Back to top button