
Sebanyak 35 kematian akibat penyakit Tuberkulosis (TB) direkodkan di Kelantan dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu juga, sejumlah 636 kes TB dilaporkan dengan Kota Bharu mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 178 kes, diikuti Pasir Mas (80) dan Tumpat (75).
“Sehingga Julai 2025, sebanyak 14 wabak TB dikesan membabitkan tujuh daerah, dengan Kota Bharu merekodkan jumlah wabak tertinggi. Kebanyakan wabak melibatkan isi rumah, dengan purata dua kes dalam kalangan kontak rapat kepada kes indeks,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, golongan berisiko di Kelantan kebanyakannya terdiri daripada warga emas berusia 65 tahun ke atas, berbangsa Melayu serta menghidap penyakit berserta seperti diabetes selain tabiat merokok.
“Bagi membendung penularan, JKNK melaksanakan pelbagai langkah termasuk promosi kesedaran mengenai pencegahan, pemeriksaan segera ke atas individu yang mengalami gejala batuk berpanjangan serta saringan golongan berisiko tinggi menggunakan teknologi diagnostik terkini.
“Pemantauan rawatan turut diperkukuh bagi memastikan pesakit mematuhi terapi selain meningkatkan kapasiti petugas kesihatan dalam pengurusan TB yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tahun 2024, sebanyak 1,049 kes TB direkodkan di Kelantan dengan 99 kematian.
— BERNAMA