Tentera Israel menangkap 30 rakyat Palestin dalam serbuan di Tebing Barat, menjadikan jumlah tahanan Palestin di wilayah yang dijajah itu kepada 3,760 sejak 7 Oktober, kata sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan.
Persatuan Banduan Palestin dan Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan berkata dalam satu kenyataan bersama pada hari Isnin bahawa penahanan itu turut melibatkan gangguan, pukulan teruk, dan ancaman terhadap tahanan dan keluarga mereka, bersama dengan tindakan sabotaj dan pemusnahan rumah penduduk Palestin.
Sementara itu, peneroka haram Israel berdepan dengan pemetik buah zaitun di bandar Aqraba, selatan Nablus, melepaskan tembakan langsung untuk menakutkan dan memaksa mereka meninggalkan tanah mereka, menurut agensi berita Palestin Wafa.
Pasukan penjajah dan peneroka haram Israel telah melakukan sejumlah 333 serangan terhadap pemetik buah zaitun sejak awal musim pada Oktober, kata agensi itu, memetik Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok.
Pengepungan penuh
Ia berkata pasukan penjajah dan peneroka haram menghalang rakyat daripada mengakses kawasan seluas 500,000 dunam (ukuran keluasan tanah) tanah mereka, termasuk 200,000 dunam yang dikelilingi penempatan dan 300,000 dunam di belakang tembok pemisah.
Penangkapan dan keganasan peneroka haram di Tebing Barat yang dijajah telah meningkat terutamanya sejak serangan 7 Oktober oleh kumpulan Palestin Hamas.
Sejak awal Oktober, Israel telah membunuh hampir 18,000 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak di Gaza selain meninggalkan jejak kemusnahan yang luas dan melaksanakan pengepungan penuh di kawasan itu.
SUMBER: AA