
Polis Johor mengeluarkan sebanyak 4,433 saman trafik dalam tempoh dua hari pertama pelaksanaan Op Krismas dan Op Ambang Tahun Baru yang bermula Selasa lalu hingga 12.30 tengah hari 24 Disember, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan dan kelancaran lalu lintas sempena musim perayaan hujung tahun. Operasi itu melibatkan seramai 1,681 pegawai dan anggota polis di seluruh negeri yang ditugaskan secara bergilir setiap hari sehingga 1 Januari depan.
Ketua Polis Johor, CP Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata operasi bersepadu berkenaan melibatkan pelbagai jabatan termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Jabatan Pengurusan serta semua jabatan dan cawangan lain di bawah Polis Diraja Malaysia. Menurut beliau, saman yang dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya pengubahsuaian kenderaan, ketiadaan nombor pendaftaran, nombor pendaftaran diubah suai, tiada lesen memandu dan ketiadaan perlindungan insurans.
Beliau menjelaskan fokus utama operasi adalah bagi mencegah kemalangan, mengekang jenayah jalanan serta mengekalkan ketenteraman awam susulan peningkatan aliran trafik akibat cuti hujung minggu, sambutan Krismas, cuti sekolah dan kemasukan pelancong dari dalam serta luar negara. Dalam satu operasi khas motosikal di Iskandar Puteri yang dijalankan dari jam 5 petang hingga 11 malam, polis menahan dan memeriksa 52 motosikal, mengeluarkan 143 saman dan menyita kesemua motosikal tersebut di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan sehingga kesalahan kenderaan dibaiki.
Dalam operasi sama, Jabatan Alam Sekitar turut mengeluarkan 14 notis berkaitan kesalahan pelepasan gas dan bunyi bising, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan mengeluarkan 32 saman atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian kenderaan dan isu nombor pendaftaran. Ab Rahaman turut memaklumkan bahawa Ops Lancar akan dilaksanakan bermula hari ini hingga 1 Januari dengan tumpuan diberikan kepada lokasi utama yang merekodkan pergerakan keluar masuk kenderaan yang tinggi.
Menurut data PLUS, purata antara 22,000 hingga 24,000 kenderaan keluar masuk Johor setiap hari melalui Plaza Tol Senai Utara dan Lima Kedai sejak 19 Disember, dengan 47 lokasi hotspot dikenal pasti termasuk lebuh raya, pusat bandar serta pintu masuk utama seperti Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Gelang Patah. Beliau berkata operasi berkenaan bertujuan memastikan Johor tidak mengalami kesesakan trafik yang teruk sepanjang tempoh perayaan hujung tahun.
Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai agar memanfaatkan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol untuk mendaftar maklumat balik kampung bagi membantu aspek keselamatan harta benda dan ketenteraman awam. Namun, beliau memaklumkan jumlah pendaftaran masih rendah dengan hanya 232 pendaftaran diterima setakat ini, jauh lebih kecil berbanding anggaran sebenar penduduk yang meninggalkan rumah sempena musim cuti.
Sumber: BERNAMA







