
Gelombang bantahan tercetus dalam kalangan atlet Muslim di Perancis susulan cadangan kerajaan negara itu untuk melarang pemakaian hijab dalam semua acara sukan rasmi.
Cadangan tersebut, yang dilihat oleh ramai pemerhati sebagai diskriminasi terhadap wanita Muslim, mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pertubuhan hak asasi manusia termasuk Amnesty International.
Menurut Amnesty International, langkah yang dicadangkan itu jelas bercanggah dengan prinsip kebebasan beragama dan berpotensi mendiskriminasi atlet wanita Muslim yang ingin beraksi di pentas sukan sambil mengekalkan identiti dan prinsip kepercayaan mereka.
“Larangan ini bukan sahaja menafikan hak wanita Muslim untuk bersukan, malah ia menjejaskan usaha ke arah keterangkuman dan kesaksamaan dalam arena sukan,” tegas jurucakap Amnesty.
Beberapa atlet Muslim turut menyuarakan kekecewaan mereka secara terbuka, menyifatkan cadangan tersebut sebagai cubaan menafikan hak mereka untuk beraksi dengan maruah dan integriti. Mereka menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus mendesak kerajaan Perancis agar menarik semula cadangan tersebut.
Tindakan ini juga mencetuskan perdebatan hangat di seluruh dunia, khususnya di kalangan komuniti Muslim global yang menggesa agar prinsip kebebasan beragama dihormati dalam apa jua platform, termasuk di arena sukan.
Larangan hijab dalam sukan bukan isu baharu di Perancis, namun perkembangan terbaharu ini dilihat sebagai langkah yang lebih agresif dalam mengukuhkan sekularisme negara itu.
UmmahToday akan terus mengikuti rapat perkembangan isu ini. (Aqil)