PalestinSemasa

Ahli Parlimen Jerman Desak Pertimbang Sekatan Terhadap Israel

Seorang ahli parlimen kanan daripada gabungan Canselor Jerman Friedrich Merz mencadangkan Berlin mempertimbangkan sekatan terhadap Israel, termasuk penggantungan eksport senjata dan perjanjian politik di peringkat Kesatuan Eropah.

Gesaan itu dibuat oleh Siemtje Moeller, timbalan ketua puak parlimen Parti Sosial Demokrat (SPD), selepas pulang dari lawatan rasmi ke Israel bersama Menteri Luar Johann Wadephul minggu lalu.

“Penilaian saya ialah kerajaan Israel hanya akan bergerak jika ada tekanan. Jika tiada penambahbaikan konkrit dalam masa terdekat, mesti ada akibat,” tulis Moeller dalam suratnya kepada ahli parlimen SPD, yang dilihat Reuters.

Beliau turut menegaskan pengiktirafan negara Palestin tidak seharusnya dianggap tabu, sambil menyifatkan kenyataan Israel bahawa tiada sekatan terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai tidak meyakinkan.

Moeller juga menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan yang masih ditahan Hamas, serta menolak sebarang peranan Hamas dalam masa depan politik Gaza.

Gesaan ini mencerminkan peningkatan nada kritikan dari Berlin terhadap Israel, walaupun masih belum disusuli perubahan dasar yang besar.

Sejak 7 Oktober 2023, perang udara dan darat Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 60,000 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. Sekatan Israel telah mengakibatkan krisis kebuluran yang meragut nyawa orang awam, dengan imej kanak-kanak yang kelaparan mencetuskan kecaman global.

Sumber: Reuters

Related Articles

Back to top button