DomestikSemasa

Lelaki 44 Rekod Jenayah & Dadah Tumpas Selepas Aksi Kejar-Mengejar di Temerloh

Seorang lelaki berusia 35 tahun yang mempunyai 44 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah ditahan polis selepas cuba melarikan diri dalam insiden kejar-mengejar di Jalan Tengku Ismail, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mazlan Hassan, berkata insiden bermula sekitar jam 10.30 pagi ketika anggota polis memperkenalkan diri kepada suspek di hadapan sebuah kedai. Lelaki itu bagaimanapun terus memecut kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu yang dipandunya.

“Suspek memandu secara melulu, melanggar tebing jalan sebelum terbabas dan berhenti di persimpangan lampu isyarat. Berlaku pergelutan antara anggota polis dan suspek sebelum dia berjaya diberkas,” katanya dalam kenyataan.

Pemeriksaan lanjut mendapati suspek positif dadah dan membawa pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel, termasuk tukul besi dan alat pembuka penutup manhole. Polis turut menemui sejumlah pil yaba.

Hasil siasatan awal mendedahkan suspek mengaku terlibat dalam beberapa kes kecurian kabel komunikasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang pada Februari lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber – Bernama

Related Articles

Back to top button