
Ratu wushu negara, Tan Cheong Min, menghadiahkan pingat emas yang dimenanginya di Sukan Dunia 2025 sebagai tanda penghargaan kepada Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan yang bakal tiba.
Atlet kelahiran Melaka itu mencatat sejarah apabila meraih emas pertama negara dalam acara wushu di temasya berprestij tersebut, yang berlangsung di Chengdu, China, Sabtu lalu – edisi pertama sukan itu dipertandingkan secara rasmi di pentas Sukan Dunia.
“Pingat ini bukan untuk saya seorang, tetapi untuk Malaysia. Ia hadiah istimewa untuk sambutan Hari Kebangsaan. Saya sangat bangga kerana wushu akhirnya diiktiraf di peringkat tertinggi,” katanya ketika dihubungi.
Kejayaan Cheong Min menyumbang kepada kutipan tiga pingat kontinjen negara – satu emas, satu perak dan satu gangsa. Beliau sebelum ini pernah muncul juara dunia pada 2017 di Kazan, Rusia (acara Duilian) dan 2019 di Shanghai, China (acara Nandao).
Selepas kejayaan di Chengdu, Cheong Min kini memberi tumpuan kepada Kejohanan Wushu Dunia di Brazil pada September, diikuti Sukan SEA di Thailand pada Disember.
“Saya mahu memastikan kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada semua atlet, terutama dalam memartabatkan sukan wushu di Malaysia,” katanya.