
Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, Mohd Nidzam Jamil mengakui Johor Darul Ta’zim (JDT) memberikan cabaran sengit dalam aksi pembukaan Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi, yang menyaksikan skuad kendaliannya tewas 3-5.
Beliau menyifatkan JDT sebagai pasukan matang dan dominan dengan corak permainan berkualiti tinggi, sekali gus sukar ditandingi, khususnya ketika Negeri Sembilan sempat mendahului di gelanggang lawan.
“Kita berdepan tekanan daripada pasukan yang sangat berdisiplin. Beberapa gol bolos berpunca daripada bola mati seperti sepakan penjuru, menunjukkan ada kelemahan yang perlu segera diperbaiki,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Walaupun kecewa dengan keputusan itu, Mohd Nidzam memuji komitmen tinggi anak buahnya yang kekal berjuang hingga wisel penamat. Beliau menegaskan pasukan akan terus fokus memperbaiki aspek taktikal dan disiplin pertahanan.
Negeri Sembilan juga bakal memberi tumpuan kepada saingan Piala FA yang akan berlangsung tidak lama lagi, dengan kelebihan beraksi di laman sendiri menjadi senjata utama.
Dalam perlawanan tersebut, skuad Jang bermula cemerlang menerusi gol Joseph Esso pada minit ke-8 dan dua jaringan Jovan Motika pada minit ke-12 dan ke-60. Namun, JDT bangkit bermula minit ke-38 untuk mengutip tiga mata penuh dengan kemenangan 5-3.
– Bernama