
Semua kelab Liga Super telah melengkapkan penyerahan dokumen bajet dan pramusim musim 2025–2026 mengikut peraturan Financial Fair Play (FFP) Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, berkata dokumen yang dihantar meliputi bajet, senarai pemain dan pegawai, jumlah gaji serta caruman kepada KWSP, LHDN dan PERKESO, selain deklarasi tunggakan setakat Jun 2025.
Menurutnya, Unit FFP akan mengadakan lima sesi pemantauan sepanjang musim, dengan kelab diwajibkan menghantar laporan pendapatan, perbelanjaan, gaji dan caruman setiap dua bulan.
“Tarikh akhir penyerahan dokumentasi pemantauan pertama ialah pada 16 Oktober ini, merangkumi laporan Ogos dan September,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan kegagalan mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan di bawah Artikel 10 dan 14(1)(b), termasuk hukuman sewajarnya.
Sumber – Bernama