
Malaysia melihat ASEAN sebagai rantau berpotensi besar yang belum dimanfaatkan sepenuhnya dan bersedia menjadi pemacu pertumbuhan serta daya tahan dinamik dalam menghadapi cabaran ekonomi global, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI, Mastura Ahmad Mustafa berkata ASEAN bukan sahaja merupakan pasaran besar, malah menjadi sumber inovasi, kreativiti dan tenaga dengan jumlah penduduk hampir 700 juta orang, di mana hampir sepertiga daripadanya terdiri daripada golongan belia.
“Kelebihan demografi ini, ditambah dengan perkembangan pesat kelas pengguna, peningkatan kesalinghubungan serta penerimaan digital yang semakin pantas, memberikan ASEAN kelebihan yang unik.
“Jika dipupuk berdasarkan prinsip kemampanan dan keterangkuman, kekuatan ini bukan sahaja akan memperkukuh pertumbuhan rantau kita, malah akan meletakkan ASEAN sebagai peneraju dalam membentuk masa depan ekonomi global,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN Ketiga (SEOM 3/56) dan Mesyuarat Berkaitan di sini malam ini.
Beliau menegaskan bahawa menerusi Kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia berusaha memperdalam integrasi serantau, mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan, merangsang pelaburan mampan serta memajukan inovasi digital.
“Lebih penting, kami komited untuk menyediakan peluang kepada perniagaan di semua peringkat, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), agar mereka dapat terlibat secara bermakna dalam perjalanan pertumbuhan ASEAN,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, MITI memaklumkan perbincangan utama dalam SEOM 3/56 menumpukan kepada Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN 2025, selain perkembangan terkini mengenai Keutamaan Tahunan 2025 di bawah bidang kuasa Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM)/SEOM.
Turut dibincangkan ialah pelaksanaan perjanjian ASEAN, kemajuan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA), serta agenda kemampanan termasuk keneutralan karbon, ekonomi kitaran dan Grid Tenaga ASEAN.
Malaysia menjadi tuan rumah SEOM 3/56 dan Mesyuarat Berkaitan dari 18 hingga 23 Ogos di Kuala Lumpur.
MITI berkata perbincangan bersama Rakan Dialog ASEAN turut meninjau kemajuan serta isu berkaitan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada, di samping menilai status pelan kerja dan inisiatif kerjasama ekonomi yang sedang dilaksanakan.
— BERNAMA