SemasaSukan

Rexy Optimis Beregu Negara Mampu Bawa Pulang Pingat di Kejohanan Dunia

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky optimis barisan beregu negara berupaya membawa pulang pingat pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 yang bakal berlangsung di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos ini.

Beliau berkata skuad kali ini antara yang terkuat pernah dihantar kontinjen Malaysia, dengan beberapa pasangan disenaraikan sebagai pilihan utama kejohanan.

“Kita tidak mahu memberi tekanan berlebihan kepada pemain, sebaliknya biar mereka menikmati permainan. Mereka sudah melalui latihan dan tekanan yang berat, kini tiba masanya untuk mereka merasai hasil kerja keras itu,” katanya ketika ditemui semalam.

Rexy turut melahirkan rasa gembira apabila beberapa beregu lelaki negara disenaraikan sebagai pilihan, sekali gus mengurangkan tumpuan berlebihan terhadap bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

“Jika sebelum ini banyak tumpuan diberikan kepada Aaron-Wooi Yik, kini prestasi pasangan lain seperti Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun semakin meningkat. Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan terhadap Aaron-Wooi Yik,” jelasnya.

Untuk edisi kali ini, Malaysia mempunyai empat wakil dalam acara beregu lelaki iaitu Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun, Nur Izzuddin-Sze Fei dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button